Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Wednesday, November 6, 2013

Perkara Sunat Dilakukan Dengan Kelahiran Bayi

<3 Bismillah <3
  • AZAN DAN IQAMAT 
         Islam mensyariatkan agar azan dilaungkan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi, sesuai dengan hadis Abu Rafi' yang bermaksud:  "Saya melihat Rasulullah SAW mengalunkan azan yang dilaungkan untuk mengerjakan solat pada telinga Hasan bin Ali yang baru dilahirkan oleh Fatimah."

  • TAHNIK
        Terdapat anjuran dalam Islam untuk melaksanakan tahnik iaitu membuka atau memecah mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa. 
       Isi buah tamar yang telah dikunyah itu diletakkan di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Ini dilakukan sehingga kurma tadi menyentuh keseluruhan mulut sehingga ke rongga tekak bayi.   
       Ini bersesuaian dengan hadis Abu Burdah daripada Abu Musa r.a. yang bermaksud: "Aku telah mendapat seorang anak, kemudian aku membawanya kepada Nabi saw, Baginda menamakannya Ibrahim, lalu mentahnikkannya (memecahkan mulutnya) dengan sebiji kurma." 
       Antara hikmah amalan 'tahnik' adalah untuk menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menghisap susu dengan sempurnanya. Kurma boleh digantikan dengan gula dan madu lebah jika kurma sukar untuk didapati.  

  •  MEMBERIKAN NAMA YANG BAIK
      Islam menganjurkan untuk memberikan nama-nama yang elok dan mempunyai makna yang baik. Pemilihan nama-nama yang baik ini sedikit sebanyak boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak seseorang Muslim. 
          Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: 
Maksudnya: "Sesungguhnya pada hari Kiamat kelak, kamu semua akan dipanggil (menghadap Allah SWT) dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh itu, perelokkanlah nama-nama kamu."
      Nabi SAW melarang umatnya menamakan anak masing-masing dengan nama-nama tercela yang membawa makna yang tidak baik. Hal ini penting dalam usaha menjaga kehormatan anak tersebut daripada cemuhan masyarakat.  
  • PENGURUSAN URI 
       Dalam bahasa Arab, uri disebut al-Mashimah. Uri atau dikenali plasenta merupakan sesuatu yang keluar sesudah bayi dilahirkan. Uri adalah satu organ yang bersambung dengan tali pusat yang berfungsi sebagai alat yang membekalkan makanan dan oksigen kepada bayi di dalam kandungan. 
      Menurut pandangan Islam, uri adalah suci bukannya najis, dan tidak boleh dijual atau diperdagangkan. Oleh sebab itu, uri perlu ditanam dan diuruskan dengan cara yang baik. 
      Hukum menanam uri bayi adalah Harus atas tujuan menjaga kebersihan dan kesucian uri tersebut dan perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
      Tujuan uri perlu dibersihkan dan ditanam supaya tidak digonggong atau dimakan oleh haiwan dan sebagai satu fitrah dalam menghormati tubuh badan manusia yang merupakan sebahagian daripada anggota badan manusia yang dicipta oleh Allah SWT.    
       Cara membersihkan uri adalah sekadar dengan dibasuh dengan air bersih dan kemudian ditanam dengan baik supaya tidak dihidu oleh binatang liar. 
       Terdapat masyarakat Melayu yang membasuh uri dengan menggunakan asam dan garam. Sekiranya hal ini bertujuan untuk menghilangkan bau uri tersebut agar tidak dihidu oleh kucing atau anjing, maka ia adalah Harus.
  • AKIKAH DAN BERCUKUR RAMBUT
        Akikah dari segi bahasa bermaksud Rambut yang terdapat pada anak yang baru dilahirkan. Manakala dari segi Syarak ialah Binatang yang disembelih bagi anak yang baru dilahirkan. 
        Antara hadis yang memperkatakan tentang akikah ini ialah: Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Salman bin Amir al-Dhabbi r.a. katanya: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Bersama bayi itu terdapat akikah. Maka, tumpahkanlah darah untuknya dan tanggalkan daripadanya perkara yang menyakitkan (iaitu kekotoran dan najis)."     
        Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya daripada Samurah r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya, "Bayi itu tergadai (tergantung) dengan akikahnya. Binatang disembelih bagi pihaknya pada hari ketujuh, diberikan nama dan dicukur kepalanya."
        Para ulama mazhad asy-Syafi'i menyatakan bahawa sunat dilakukan akikah pada hari ketujuh kelahiran. Sekiranya tidak mampu, maka boleh dilakukan sebelum anak mencapai usia baligh. Jika si anak telah baligh tetapi masih belum dilaksanakan akikahnya, maka tanggungjawab ibu bapa itu telah gugur dan sebaik-baiknya si anak melakukan akikah untuk dirinya. 
  • AMALAN MENCUKUR RAMBUT
         Anjuran mencukur rambut bayi sempena majlis akikah ini mengandungi hikmah khususnya dari segi kesihatan. Menurut Ibnu al-Qayyim, amalan ini akan meningkatkan tahap kesihatan anak tadi, membuka selaput kepala dan mempertajamkan daya penglihatan, pendengaran dan deria hidu. 
          
 Hikmah berakikah:-
  1. Melahirkan rasa gembira atas kelahiran satu jiwa Muslim baru yang sujud menyembah Allah SWT di dunia.
  2. Mendekatkan diri anak itu kepada Allah atas akikah yang dilakukan.
  3. Mengukuhkan tali persaudaraan sesama Muslim apabila majlis akikah tersebut dihadiri oleh kaum keluarga, saudara mara, dan jiran tetangga. 
  4. Sebagai tebusan anak tersebut dapat memberikan syafaat kepada ibu bapanya. 
  5. Menunjukkan tanda syukur kepada Allah SWT atas kurniaan-Nya. 
  6. Menjauhkan anak tersebut daripada segala bahaya dan bencana.  

  • BERKHITAN
      Hukum berkhitan dalam mazhad asy-Syafi'i ialah WAJIB bagi lelaki dan wanita. Ada juga yang mengatakan hukum berkhitan merupakan sunat.  
         Hadis Riwayat Imam Ahmad r.a. daripada Nabi SAW, Maksudnya: "Khitan itu disunatkan bagi kaum lelaki dan merupakan kemuliaan bagi kaum wanita."
          Bagi mereka yang mengatakan wajib pula berpegang kepada sabda Nabi SAW kepada seorang lelaki yang baru memeluk agama Islam: Maksudnya, "Buanglah daripadamu rambut kekufuran dan berkhitanlah."
          
 


 

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.