Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Saturday, December 7, 2013

Mengenal Rasul =)

<3 Bismillah <3 

Sesungguhnya, tanpa mengenali Rasulullah SAW yang telah diutuskan oleh Allah SWT sebagai rahmat untuk seluruh umat, semestinya kita tidak akan mendapat hidayah daripada Allah SWT. Kita juga tidak akan mendapat nikmat Syurga yang kekal pada hari Kiamat kelak. 

Asas berkaitan sifat-sifat Wajib, sifat Mustahil dan sifat Jaiz yakni Harus yang dimiliki para rasul perlu diketahui. Di bawah ini, terdapat ringkasan berhubung sifat tersebut.

Sifat Wajib Bagi Rasul :-
1. Siddiq - benar / jujur
2. Amanah - dipercayai
3. Tabligh - menyampaikan dan menerangkan perintah dan larangan Allah terhadap insan
4. Fathonah - cerdik dan cerdas

Sifat yang Harus bagi Rasul ada SATU iaitu mempunyai sifat yang sebagaimana sifat manusia biasa namun ia tidak membawa kepada tercemarnya darjat kerasulan mereka. Seperti :-
- kahwin
- makan
- minum
- lapar
- dahaga
- berasa dingin
- sakit
- sihat
- berusaha mencari rezeki 
- dan sebagainya    

Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra'd 13:38 yang bermaksud, "Sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa orang rasul sebelummu dan Kami menjadikan isteri-isteri dan keturunan kepada mereka."

Sifat Mustahil Bagi Rasul :-
1. Kizbun - dusta
2. Khianah - curang / khianat
3. Kitman - tidak menyampaikan perintah
4. Baladah - bodoh
 

Kajian Terhadap Kecerdasan Otak Kanak-Kanak

<3 Bismillah <3

Topik: Rumusan kajian Dr. Glenn Doman.

InsyaAllah, di sini diberikan sedikit perkongsian tentang kajian yang dilakukan oleh seorang pakar terhadap Kecerdasan otak Kanak-kanak, termasuklah kanak-kanak cacat otak. 

Rumusannya :-

1. Tiada ahli sains yang dapat mengalahkan kanak-kanak, dari segi semangat belajar, mengkaji, mencuba dan menyelidik. Kanak-kanak akan lebih gembira jika lebih banyak dan lebih cepat menerima pelajaran. Potensi kanak-kanak membaca sama sahaja dengan potensi bercakap.

2. Kanak-kanak boleh bercakap dahulu kerana kanak-kanak lebih banyak menerima rangsangan pendengaran dan percakapan. 

3. Sekiranya rangsangan mata dan telinga sama banyak diterima, pasti kanak-kanak akan dapat membaca dan bercakap pada waktu yang sama. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada kaedah dan suasana pembelajaran. 

4. IQ akan meningkat dengan pesat bila dirangsangkan dalam peringkat ini dan berkurangan pada peringkat seterusnya. 

5. Apa yang tidak diperolehinya semasa kecil, sangat sukar diperolehi apabila ia besar kelak. 

6. Pembelajaran pada masa akan datang juga terletak di atas apa yang didapatinya semasa kecil. 

7. Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang cacat otak (seperti akibat demam panas) masih boleh dirawat jika sel otaknya dirangsangkan sebelum umur persekolahan.

Bab II: Adab Ketika Makan (sambungan)

<3 Bismillah <3

11. Makan bermula dari tepi - memulakan makanan bermula dari tepi pinggan dan bukannya bermula dari tengah pinggan. Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Makanlah kamu di dalam talam dari sudut tepinya, janganlah kamu memulakannya dari tengah, maka sesungguhnya keberkatan terdapat di tengah talam tersebut." (Riwayat Baihaqi)

12. Kunyah secara perlahan dan lumat - kita perlulah mengunyah makanan secara perlahan dan lumat supaya segala yang dimakan dapat dihadamkan dengan sempurna. Mengunyah makanan secara cepat dan tidak lumat boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia.

13. Elokkan suapan - kita haruslah menyuap makanan ke dalam mulut dengan elok, iaitu janganlah terlalu besar sehinggakan susah hendak memasuki mulut. Pastikan suapan tersebut sederhana dan menepati dengan keluasan mulut. Pastikan makanan di dalam mulut sudah habis sebelum memasukkan suapan yang seterusnya.

14. Tidak meniup pada makanan - elakkan daripada meniup makanan yang terlalu panas atau terlalu sejuk. Dan jauhkan dari memakan makanan yang terlalu panas dan terlalu sejuk.

15. Bercakap perkara yang elok semasa makan - adalah sunat jika kita bercakap hal-hal kebaikan semasa makan, dan bercakap perkara yang mendatangkan faedah. Hal ini lebih ditekankan sekiranya menerima tetamu. Perkara ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan Baginda telah mengajarkan kepada para sahabatnya cara yang terbaik semasa makan.

Adalah makruh sekiranya kita bercakap hal yang keji dan tidak mendatangkan faedah. Dan disunatkan kepada tuan rumah atau tuan empunya makanan bercakap bagi memeriahkan lagi suasana.

16. Makan dalam keadaan duduk - kita haruslah makan dalam keadaan duduk dan elok. Tidak elok jika makan dalam keadaan menyandar dengan tangan, berbaring, meniarap, berjalan dan sebagainya.

Daripada Ibnu Umar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Rasulullah telah menegah daripada dua makanan, duduk di hidangan yang ada padanya minuman arak dan makan seorang lelaki dalam keadaan berbaring." (Riwayat Abu Daud & Ibnu Majah)

17. Jauhkan perkara yang menghilangkan selera orang lain - kita mestilah mengelakkan daripada melakukan hal mahu pun perbuatan yang boleh menghilangkan selera orang lain serta menyakiti orang yang bersama kita seperti menguap di hadapan makanan, bersin ke arah hidangan, kekotoran yang ada pada pakaian, membuang hingus dari hidung, berdahak semasa makan dan sebagainya.     

18. Tidak memandang kepada orang lain - kita hendaklah tidak memandang kepada orang lain yang sedang makan bersama kita supaya tidak mengganggu ketenteraman mereka semasa makan. Seseorang yang dipandang akan merasa tidak senang untuk makan apa yang diingininya serta merasa malu kerana terdapat orang yang memerhatikannya.

Seandainya yang memandang itu adalah tuan rumah, maka hal ini akan menimbulkan pandangan serong tetamu terhadap tuan rumah dan akan dikatakan kedekut.

19. Angkat makanan yang jatuh - kita perlulah segera mengangkat makanan yang jatuh semasa makan sama ada semasa menyuap mahu pun yang jatuh dari pinggan. Sapu makanan tersebut jika masih elok untuk dimakan atau pun tinggalkan di atas alas makanan jika sudah tidak elok untuk dimakan. Jangan sesekali tinggalkan makanan tersebut kepada syaitan.

Daripada Anas RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila jatuh suapan seseorang, maka buangkanlah kekotoran yang ada padanya dan memakannya. Janganlah ia meninggalkannya kepada syaitan. Dan Rasulullah memerintahkan kami supaya sapu kesan makanan yang ada pada pinggan seseorang dengan jari, Rasulullah SAW bersabda: maka sesungguhnya kamu tidak mengetahui mana satu makanan kamu yang berkat" (Riwayat Muslim)    

Daripada Jabir RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Apabila seseorang kamu makan makanan, maka telah jatuh makanan daripada suapannya, maka sapulah apa yang meragukan daripada makanan tersebut, kemudian memakannya dan janganlah meninggalkannya kepada syaitan." (Riwayat at-Tirmizi)

20. Tidak campurkan biji atau pun kulit dengan makanan yang belum dimakan - kita hendaklah menjauhi daripada mencampurkan makanan yang telah dimakan sama ada biji, kulit, tulang dan seumpamanya di dalam bekas makanan yang belum di makan lagi kerana akan menghilangkan selera orang lain. 

Makanan yang sudah di makan bercampur dengan air liur dan perkara-perkara yang ada di dalam mulut. Janganlah letakkannya di dalam bekas makanan yang belum dimakan kerana dikhuatiri bercampur antara kedua-duanya. 

21. Suapkan makanan kepada isteri dengan tangan - Apabila seseorang kamu makan bersama isteri, maka suapkan sedikit makanan dengan tangan kamu ke dalam mulutnya kerana perkara tersebut akan diganjari pahala daripada Allah SWT. Juga dapat mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri. Sabda Rasulullah SAW kepada Saad bin Abi Waqas sebagaimana berikut: 

Maksudnya, "Dan sesungguhnya tidak memberi nafkah seorang lelaki kepada isterinya yang mengharapkan keredhaan Allah SWT kecualilah akan diberikan ganjaran pahala kepadanya, sehinggalah apa yang kamu suapkan ke mulut isterimu." (Riwayat Bukhari & Muslim)      

22. Mempersilakan hadirin untuk menjamah makanan - adalah disunatkan tuan rumah mempersilakan hadirin untuk menjamah makanan lebih-lebih terdapat tetamu yang segan, atau teragak-agak untuk menyentuh makanan. Hal ini lebih dituntut sekiranya terdapat di kalangan hadirin ulama', orang tua, kedua-dua ibu bapa dan seumpamanya. 

23. Mendahulukan orang lain - sunat untuk kita mendahulukan orang lain yang makan bersama daripada kita sendiri terutama orang yang alim, mempunyai kelebihan atau pun makanan yang disediakan hanya sedikit atau pun ada orang yang sangat berhajat kepada makanan.  

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan mereka mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat." (Surah Al-Hasyr: 9)

24. Tidak berlebihan ketika makan - tidak makan terlalu kenyang sehinggakan membawa kepada pembaziran. Malah, makan sekadar menghilangkan kelaparan. Makan terlalu kenyang menyebabkan kemudaratan kepada manusia. 

Begitu juga, membawa kepada malas, lemah pemikiran, lemah tubuh badan, susah untuk melaksanakan ibadah dan sebagainya. Daripada Ibnu Umar RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Orang mukmin makan dalam satu bekas dan orang kafir makan dalam tujuh bekas." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Daripada Miqdam RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak memenuhi perut anak Adam daripada makanan yang keji, memadailah bagi anak Adam untuk dipenuhi tulang salbinya, jadikanlah 1/3 untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 untuk dirinya." (Riwayat Ahmad & Tirmizi)

25. Tidak menyapu tangan dengan makanan - hal ini seolah-olah memperkecilkan nikmat Allah SWT. Tidak boleh menyapu tangan selepas makan dengan roti atau pun selain daripadanya. Begitu juga, menyapu tangan dengan kain pelapik pinggan mangkuk kerana perkara tersebut menyalahi adab-adab yang diajarkan oleh Islam.