Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Friday, November 8, 2013

Kisah Hasan al-Basri & Sepasang Mata



<3 Bismillah <3

Hasan al-Basri pada masa mudanya kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian yang mahal. Beliau sering berjalan-jalan di sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang dengan keindahan dan ramainya penduduk yang tinggal di kota itu.

Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau ternampak seorang wanita berhijab. Melihat wanita cantik itu, Hasan terpesona dengan sepasang mata milik wanita itu yang sangat cantik. Hasan lalu berjalan mengikutinya. 
 
Wanita itu menoleh setelah menyedari dirinya telah diekori.
Lantas wanita itu berkata kepadanya: "Apakah engkau tidak malu?"
Jawab Hasan: "Malu pada siapa?"
Wanita itu menjawab: "Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati."

Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya. Akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu. 
 
Wanita itu berkata lagi kepadanya: "Mengapa engkau mengikuti aku?"
Jawab Hasan: "Sungguh, aku terpesona dengan sepasang matamu itu."
Wanita itu berkata: "Tunggulah di sini, nanti akan aku kirimkan apa yang engkau kehendaki."
Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita itu kepadanya membawa sebuah kotak. Ketika Hasan membuka kotak tersebut, dia terkejut kerana ternyata terdapat dua mata wanita itu yang masih berdarah di dalamnya. 
 
Melihat hal sedemikian, maka pelayan tersebut berkata: 
"Sungguh tuan puteri berkata: "Aku tidak ingin mata yang mendatangkan fitnah dan mempesonakan orang.
Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: 
"Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu."
Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis. 

Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf atas segala kesalahannya. Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisan wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku. Dikatakan bahawa pemilik rumah itu telah meninggal dunia. 
 
Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari tiga malam. Pada malam ketiga, dia bermimpi berjumpa dengan wanita itu.

Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya: "Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku."
Jawab wanita itu: "Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau. Allah telah memberi ganjaran syurga kepadaku"

Hasan berkata: "Berikanlah kepadaku akan nasihatmu.
"Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepadaNya," kata wanita berkenaan. 
 
Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan nasihat tersebut sehingga dia menjadi seorang Sufi yang masyhur di kalangan masyarakat dengan sifat zuhud dan taatnya kepada Allah SWT. Akhirnya, dia pun memperoleh darjat yang tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah SWT.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.