Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Thursday, November 28, 2013

Bab II: Adab Ketika Makan

Bismillah, 

1. Makan secara berjemaah - makan secara berjemaah dapat mendatangkan keberkatan dan mengukuhkan ikatan mahabbah antara satu sama lain. 

Rasulullah SAW telah bersabda ketika para sahabat mengadu bahawa makanan yang disediakan tidak mencukupi untuk semua yang hadir sebagaimana hadis berikut:

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Berkumpullah kamu di sisi makanan, dan sebutlah nama Allah nescaya kamu akan diberkati." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban & Hakim)

Makanan sedikit yang diberkati Allah SWT ketika makan secara beramai-ramai sekalipun mampu mencukupi untuk semua. Daripada Jabir RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Makanan untuk seorang boleh dimakan dua orang, makanan yang cukup untuk dua orang boleh dimakan empat orang dan makanan untuk empat orang boleh dimakan untuk lapan orang." (Riwayat Muslim)

Berkumpul secara beramai-ramai dapat melahirkan ukhwah sesama manusia serta melatih supaya bermurah hati dan bersedekah. 

2. Letakkan makanan di atas alas - meletakkan makanan di atas alas dapat mendatangkan kebaikan kepada manusia. Makanan tidak akan berselerak di atas lantai dan juga dapat menjaga lantai daripada kotor. 

Daripada Anas RA berkata: "Rasulullah SAW tidak makan di atas meja makan dan pinggan yang diperbuat daripada emas dan perak, lalu sahabat bertanya: bagaimana mereka makan, Anas RA berkata: mereka makan menggunakan alas (safrah)." (Riwayat Ibnu Majah)

Menggunakan alas merupakan sunnah Rasulullah SAW namun diharuskan makan menggunakan meja makan kerana ada setengah ulamak mentafsirkan meja adalah alas. Hal ini kerana terdapat para sahabat selain Anas yang melihat Rasulullah SAW makan di atas meja, yang penting ialah menggunakan alas sama ada diperbuat daripada kulit, kain, plastik dan sebagainya. 

3. Basuh kedua-dua belah tangan sebelum dan selepas makan - adalah penting untuk mengelakkan kita daripada terkena penyakit kerana kebiasaannya tangan terdedah kepada benda-benda yang kotor. 

Hikmah besar di sebalik perintah ini adalah untuk menggalakkan umat Islam supaya menjaga kebersihan. Daripada Ibnu Abas RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Membasuh tangan sebelum dan selepas makan dapat menjauhkan daripada kefakiran." (Riwayat at-Tabrani)

Daripada Salman RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Makanan akan diberkati jika membasuh tangan sebelum dan selepas makan." (Riwayat Abu Daud & Tirmizi)

4. Tidak mencela atau memperlekehkan makanan - Hindari daripada memperkecilkan makanan sama ada seseorang itu menjadi tetamu atau pun makan di rumahnya sendiri. Sesungguhnya dengan memperkecilkan makanan dapat membawa kepada mengingkari nikmat Allah SWT. 

Ingatlah, bahawa terdapat manusia yang tidak mempunyai makanan dimakan setiap hari. Maka, bersyukurlah dengan apa yang direzekikan oleh Allah SWT kepada kita. Sabda Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah RA berkata, "Adalah Rasulullah SAW sama sekali tidak pernah mencela makanan. Apabila suka sesuatu ia makan dan jika tidak maka ia tinggalkan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

5. Menunggu makanan sehingga sejuk - menanti makanan sehingga sejuk adalah hal yang dapat mendatangkan keberkatan. Daripada Asma' RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya (menunggu makanan sehingga sejuk) lebih banyak mendatangkan keberkatan." (Riwayat Ahmad, ad-Darimi, Ibnu Hibban & Baihaqi)

Makanan yang terlalu panas dapat mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Demikian juga jika makanan terlalu sejuk.

6. Baca doa sebelum makan - membaca doa ketika memulakan makan dan niatkan kerana Allah SWT. Daripada Umar bin Abi Salamah RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Wahai kanak-kanak! Bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kamu dan makan apa yang dekat denganmu (terlebih dulu)." (Riwayat Bukhari & Muslim)

7. Jangan bergopoh-gapah - ini merupakan sikap orang kafir dan ia sangat dicintai oleh syaitan. Seseorang itu tidak akan menyedari berapa banyak yang telah mereka makan disebabkan sifat gopoh-gapah. Islam juga tidak menggalakkan umatnya bersikap demikian dalam segala urusan sama ada yang berkaitan dengan dunia mahu pun akhirat. 

8. Mulakan dengan buah-buahan - makan buah-buahan sebagai permulaan adalah perkara yang mendatangkan faedah yang besar kepada tubuh badan manusia dan dapat mengelokkan penghadaman makanan. 

Firman Allah yang bermaksud: "Dan juga (diwajibkan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih, serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini." (Surah Al-Waqiah: 20-21)

9. Makan dengan tangan kanan - hal ini adalah perkara yang wajib dilaksanakan oleh setiap insan. Daripada Ibnu Umar RA berkata, sabda Rasulullah SAW: "Apabila seseorang kamu makan, maka makanlah dengan tangan kanan dan apabila minum, maka minumlah dengan tangan kanan. Maka sesungguhnya syaitan makan dengan tangan kiri dan minum dengan tangan kiri." (Riwayat Muslim)

Daripada Kaab bin Malik RA berkata: "Sesungguhnya Rasulullah SAW makan dengan tiga jari dan menjilat jarinya selepas makan." (Riwayat Muslim)

10. Makan makanan yang berada di hadapan terlebih dahulu - adab makan adalah menjamah makanan yang berada di hadapan terlebih dahulu dan janganlah sesekali memulakan dengan menjamah makanan yang berada di hadapan orang lain. Hal ini kerana dapat menyakiti mereka dan kita akan dikatakan tidak beradab ketika makan. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dan makanlah makanan yang hampir dengan kamu." (Riwayat Muslim) 

Namun, ada pengecualian jika makanan yang ada di hadapan kita tidak diingini atau makanan yang kita tidak boleh makan seperti makanan yang terlalu pedas dan sebagainya. Maka dibolehkan memulakan mengambil makanan yang berada di hadapan orang lain.       

--->> Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.