Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Wednesday, November 20, 2013

Muhasabah Diri

<3 Bismillah <3

Saat kita melihat kekurangan mahu pun kelemahan pada diri orang lain, jangan kita terus menghukum atau membuat penilaian terhadap mereka hanya kerana kekurangan yang kita nampak secara zahir. 

Di kala, mereka terlanjur dalam melakukan kesilapan, jangan pula kita memandang mereka sebagai manusia yang jahat atau teruk dari diri kita. Atau menganggap kita lebih baik dari mereka. Jangan sesekali bersikap demikian! InsyaAllah ya :)

Kenapa? Kerana kita perlu tahu bahawa kita ini hanya manusia biasa. Dan tidak layak bagi diri kita yang juga tidak sempurna untuk membuat penilaian terhadap sesama manusia. Kita perlu tahu bahawa hanya Allah SWT yang berhak untuk membuat penilaian terhadap hamba-hambaNya kerana Dia lah yang menciptakan kita dan Dia juga yang memegang hati kita semua, hambaNya. 

Lebih baik buat diri kita untuk sentiasa menilai, memuhasabah dan mencermin diri kita supaya kita tidak melakukan kesilapan yang sama dan jadikan apa jua yang kita lihat sebagai satu peringatan agar diri kita boleh terus menjadi yang terbaik di sisi Allah SWT. Kita perlu selalu berpesan kepada diri, bahawa cukuplah Allah sebagai Penilai kerana Dia lah Penilai yang terbaik. Hanya Penilaian yang baik dari Allah yang harus kita semua harapkan supaya redha Allah dapat diraih di dunia dan di akhirat. InsyaAllah!   

Seterusnya, kita manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan mahu pun dosa kerana kita bukan maksum. Jadi hal ini amat jelas menunjukkan yang kita tidak pernah diberi mandat untuk membuat penilaian terhadap manusia lain. Allah SWT hanya menyuruh kita semua, hambaNya agar sentiasa berusaha yang terbaik untuk menjadi hambaNya yang soleh, taat dan patuh akan segala perintah dan larangan-Nya. 

Ketahuilah, Allah melihat hamba-Nya pada Iman, Amalan dan Ibadah serta Hati yang ikhlas kerana Dia, bukan melihat pada rupa paras, kedudukan mahu pun status serta kekayaan yang dimiliki. Allah langsung tidak memandang pada semua itu. Kerana Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. SubhanAllah, Allah SWT aturkan sebegini supaya semua manusia merasakan bahawa mereka mempunyai peluang dan kesempatan untuk meraih kebahagiaan dan kejayaan bukan setakat di dunia ini, malah di akhirat kelak, InsyaAllah!

Kita juga tidak layak menilai segala amal perbuatan manusia lain kerana kita sememangnya tidak akan pernah tahu apa yang tersimpan di dalam hati mereka. Kita perlu ingat, hanya Allah yang tahu segala rahsia di hati tiap-tiap hamba-Nya. Jadi, cukuplah kita hanya berlapang dada dalam setiap hal yang terjadi kepada manusia dalam lingkungan kita agar ikatan baik antara manusia dapat dikekalkan dalam keadaan yang aman dan harmoni.  InsyaAllah!

Ingat, tidak selamanya yang jahat akan terus jahat. Mereka mungkin akan berubah seketika kemudian dengan Izin Allah SWT. Dan yang baik tidak akan mungkin dapat kekalkan kebaikannya jika Allah tidak mengizinkannya. Kerana segalanya terletak ditangan Allah SWT Yang Maha Kuasa. 

Renungkanlah, mungkin dengan kekurangan atau kelemahan yang ada dalam diri mereka, membuatkan mereka belajar untuk bersyukur, tabah dan mempunyai azam untuk memperbaiki kelemahan dan mempunyai semangat untuk meningkatkan kualiti diri ke arah yang lebih baik. Dan perlu juga kita ingat, mungkin dengan kesilapan yang mereka lakukan itu dapat menjadi pengajaran, motivasi buat diri mereka untuk memperbetulkan kesilapan diri dengan melakukan kebaikan yang berterusan. Mungkin dengan kesalahan tersebut mampu untuk mematangkan serta menyedarkan diri mereka dari terus hanyut dalam kealpaan hidup mereka. Sesungguhnya Allah lebih tahu, dan tiada yang mustahil bila Allah hanya berkata "Kun" maka akan "Jadilah".              

Jadi, tidak perlulah kita membuang masa untuk asyik menilai orang lain kerana ternyata saat mereka berubah, mereka menjadi Lebih Baik dari Kita! 

Ingat, apabila Allah mengkehendakinya terjadi tiada sesiapa dapat menghalang ia dari terjadi dan apabila Allah tidak mengkehendakinya berlaku maka tiada sesiapa jua dapat membenarkannya. 

Waallahu'alam =)

<3 Islam Itu Indah <3   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.