Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Tuesday, November 26, 2013

Bab I: Adab Sebelum Makan

Bismillah 
<Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang>

1. Ikhlaskan niat - Ketika mahu memulakan makan perlulah kita ikhlaskan niat kita untuk beribadat kepada Allah SWT. Niat makan hendaklah bertujuan bagi melakukan ibadat kepada Allah SWT serta mencapai takwa kepada-Nya. Hal ini kerana, dengan makanan tersebut kita cergas untuk melaksanakan ibadah dengan hati yang tenang dan penuh khusyuk. InsyaAllah!

2. Pastikan makanan yang halal - Kita haruslah memastikan makanan yang kita mahu makan adalah halal dan jauh dari makanan yang syubhah (halal atau haram) 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu." (Surah Al-Baqarah: 172)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Maka siapa yang selamat daripada perkara syubhah, maka sesungguhnya agama dan maruahnya telah selamat. Siapa yang melakukan perkara syubhah, maka ia telah melakukan perkara haram." 

Daripada Kaab bin 'Ujrah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Setiap daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka nerakalah yang paling utama baginya." (Riwayat at-Tirmizi)

3. Tidak makan ketika masih kenyang - Ketika masih kenyang, kita tidak digalakkan untuk makan kerana hal tersebut akan membawa kepada pembaziran dan juga dapat memudaratkan kesihatan kita. Rasulullah SAW tidak akan makan ketika perutnya masih kenyang. 

4. Menerima jemputan - Rasulullah SAW memerintahkan supaya kita menyahut jemputan kerana ia merupakan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila kamu dijemput untuk makan, maka terimalah (jemputan tersebut)." 

Kita dituntut menerima jemputan sekiranya tidak terdapat perkara-perkara yang haram. Begitu juga jika terdapat perkara mungkar di dalam majlis tersebut maka tidak harus menghadirinya.

5. Tidak makan menggunakan bekas emas/perak - Kita diharamkan oleh Allah SWT untuk makan dalam bekas makanan yang diperbuat daripada emas dan perak. Hal ini kerana terdapat pembaziran dan merasa sombong dan megah ketika makan. Malah akan menyedihkan golongan fakir dan miskin yang melihatnya. 

Daripada Ummu Salmah RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Mereka yang minum dalam bekas emas dan perak sesungguhnya api neraka bersuara dalam perutnya." (Riwayat at-Tabrani)

6. Jemput orang yang hadir makan bersama - Perkara yang terbaik dilakukan adalah menjemput orang-orang yang ada bersama kita ataupun yang baru datang ketika seseorang itu makan untuk makan bersama. Jika makan di hadapan mereka tanpa menjemput mereka dapat mengecilkan hati mereka serta akan dianggap sebagai kedekut. 

7. Jemput orang gaji / tukang masak untuk makan bersama - Kita hendaklah menjemput tukang masak/ orang gaji untuk makan bersama atau pun memberikan makanan daripada juadah makanan kita. Hal ini bertujuan agar mereka dapat ditenangkan hati setelah menghidu bauan makanan tersebut.

8. Tawaduk - Duduk ketika makan dalam keadaan tawaduk dan tawaduk pula dalam membuat pilihan jenis makanan. Serta tawaduk ketika makan bersama orang lain sama ada orang kaya ataupun miskin. 

Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Makanlah kamu sebagaimana makannya hamba dan duduklah kamu sebagaimana duduknya hamba." 

Tawaduk merupakan sifat yang perlu ada pada seseorang dalam apa jua keadaan sama ada ketika makan, berurusan dengan orang lain, mengerjakan ibadat dan segala perkara.  

Daripada 'Iyad bin Hammar al-Masjashi' RA berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kamu supaya tawaduk, sehinggalah seseorang tidak merasa bangga terhadap orang lain dan tidak melakukan kezaliman kepada orang lain." (Riwayat Muslim)  

9. Memberikan makanan kepada jiran - Adalah amat dianjurkan agar kita memberikan makanan kepada jiran tetangga lebih-lebih lagi jiran tersebut miskin dan tidak dapat makan apa yang kita makan. Dengan hal itu, kita dapat menunaikan tanggungjawab terhadap jiran tetangga di samping dapat menutup pintu-pintu syaitan yang sentiasa mengadu domba antara jiran tetangga yang dapat mewujudkan perbalahan mahu pun dendam. 

Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Apabila seseorang kamu memasak dalam periuk, maka banyakkanlah kuahnya, kemudian berikan kepada jirannya sebahagian daripada makanan tersebut." (Riwayat at-Tabrani)    

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Wahai wanita Muslim! Janganlah kamu meremehkan (memperkecilkan) jiran kerana jirannya sekalipun memberi kepadanya tulang yang mempunyai daging yang sedikit." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Tujuan larangan Baginda SAW adalah untuk melatih dan menggalakkan kaum wanita agar bersikap murah hati terhadap jirannya walau pun ada sedikit makanan di sisinya. Memberi kepada jiran meskipun sedikit lebih baik daripada tidak memberikan apa-apa. 

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Tidak dinamakan orang mukmin yang dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya dalam keadaan lapar di sisinya." (Riwayat Bukhari, at-Tabrani, Hakim & Baihaqi)

10. Mengadakan majlis makan (kenduri) - Mengadakan majlis makan merupakan satu galakan daripada Rasulullah SAW. Adab yang terbaik untuk mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain serta dapat mengukuhkan ikatan kasih sayang dan saling hormat-menghormati. 

Daripada Ibnu Umar RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Sebaik-baik amalan ialah melaksanakan kepada saudaramu yang mukmin kegembiraan, atau pun membayar hutangnya atau pun memberikan makanan roti kepada mereka." (Riwayat Baihaqi)

11. Tidak membazir - Kita sebaiknya tidak melakukan pembaziran dengan menyediakan makanan yang pelbagai sehinggakan tidak larat untuk menghabiskannya. Diharuskan bagi kita untuk menyediakan makanan lebih daripada dua makanan akan tetapi janganlah berlebih-lebihan dalam menyediakan makanan yang pelbagai. Sesetengah kita menyediakan makanan lebih daripada lapan jenis. Ini merupakan pembaziran yang tidak sepatutnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat atau mengerjakan ibadat, dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau (membazir), sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas." (Surah Al-A'raf: 31)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.