Hadis sahih
Muslim, daripada Abdullah bin Umar, katanya Umar al-Khattab ayahnya bercerita
kepadanya seperti berikut:
Pada suatu hari
kami berada di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang
lelaki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya hitam pekat. Sama sekali
tidak nampak pada dirinya tanda-tanda seperti orang yang datang dari jauh.
Tetapi tidak seorang pun daripada kami yang mengenali lelaki tersebut. Dia
duduk dekat dengan Nabi saw. Dia menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut
Rasulullah. Dia juga meletakkan kedua tapak tangannya di atas kedua pahanya
sendiri.
Dia berkata, “Wahai Muhammad,
beritahu kepadaku mengenai Islam.”
Rasulullah saw bersabda, “Islam itu
hendaklah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawasanya
Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah kamu mendirikan solat, membayar zakat,
mengerjakan puasa Ramadhan, dan menunaikan ibadah haji jika mampu dalam
perjalanan.”
Lelaki
itu berkata, “Kamu berkata benar.”
Umar
berkata: tentu saja kami merasa hairan kepada orang itu, sebab dia yang
bertanya dan dia sendiri yang membenarkan jawapan Rasulullah.
Lelaki
itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku mengenai iman.”
Rasulullah
menjawab, “Hendaklah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya,
kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, beriman kepada hari akhir dan juga kepada
qadar-Nya yang baik dan yang buruk.”
Lelaki
itu berkata, “Kamu telah berkata benar.” Kemudian beliau menyambung,
“Beritahukan kepada diriku mengenai ehsan.”
Rasulullah
bersabda, “Hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya. Jika
kamu tidak berasa melihat-Nya maka hendaklah kamu merasa dilihat oleh-Nya.”
Lelaki
itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat.”
Rasulullah
menjawab, “Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui dibandingkan dengan
yang bertanya.”
Lelaki
itu berkata, “Kalau begitu beritahukan tentang tanda-tandanya saja.”
Rasulullah
bersabda, “Kalau sudah ada budak perempuan melahirkan tuannya, kalau kamu telah
menyaksikan orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian, fakir dan
pengembala kambing berlumba-lumba meninggikan binaan.
Kemudian
dia pun pergi. Saya pun berdiam diri dalam satu tempoh yang panjang. Kemudian
Baginda bersabda kepada saya: “Wahai Umar, adakah kamu tahu, siapakah orang
yang bertanya itu? Saya menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar
kamu tentang agama kamu.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.