Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Friday, February 1, 2013

UMAR AL KHATTAB BENCI PEMBAZIRAN

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al-Ramadh kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. 

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini adalah kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. 

Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu, namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata, "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal. Sedekahkanlah kedua-duanya. Aku benci pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang telah mengenai mereka..?" (At Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr) 

Juga telah diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya, "Dari mana diperoleh ini?" 

"Daripada unta yang kita sembelih hari ini.."

Kata Umar, "Oh, alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa.." (Ibn Sa'd al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.