Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Wednesday, October 30, 2013

Jangan Pandang Remeh

<3 Bismillah <3 

Assalamualaikum, :) 


Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk berkongsi sedikit ilmu di ruangan ini, In Shaa Allah ;) 

Alhamdulillah, diberi peluang untuk mendengar kuliah ringkas dalam program "Muhasabah Diri" di TV Hijrah yang bertajuk "Jangan Pandang Remeh". Walau pun ringkas tapi ilmu yang diperoleh itu cukup bermakna dan memberi nilai yang besar kepada diri untuk diamalkan, Insyaallah. Dengan ilmu tersebut, dapatlah digunakan bagi memuhasabah diri yang lemah ini, penuh khilaf serta kekurangan. 

Betapa pentingnya buat kita untuk sentiasa memuhasabah diri kita setiap hari dan ketika agar kita tidak terus berada dalam kelalaian dan kealpaan. Kita perlu memuhasabah diri supaya segala kesilapan dan kesalahan yang kita lakukan dalam kehidupan kita seharian dapat diperbetulkan dan dibaiki serta diinsafi, InsyaAllah! 

Tajuk, "JANGAN PANDANG REMEH" membincangkan tentang manusia yang sering mengambil ringan soal pahala-dosa, halal-haram, maruah, aurat, maksiat, ibadat dan lain-lain. 

Ramai di antara kita yang selalu menggunakan istilah "Tidak Apa" dalam banyak situasa yang melibatkan dosa, maksiat, aurat dan sebagainya. Seolah-olah mereka tidak takut kepada hukuman dari Allah swt yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui segala yang diperbuatkan oleh hamba-hambaNya. Mereka memandang remeh setiap apa yang telah ditetapkan oleh Allah dalam menjalani kehidupan kita di alam fana ini. Bayangkan, seorang suami yang memandang remeh soal dosa, haram tatkala membiarkan isteri bergaul bebas dengan kawan-kawan lelaki. Dia sekadar mengatakan "tidak apa!" bila melihatkan isterinya berkeadaan sedemikian kerana menganggap ianya soal yang biasa dalam hubungan persahabatan. 

Begitu juga seorang ibu yang membiarkan anak-anak tidak melaksanakan solat, dan seorang bapa membiarkan anak-anak perempuan keluar dari rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna. Mereka memandang ringan terhadap semua itu kerana telah menjadikan ia sesuatu perkara yang biasa. 

Tanpa mereka sedar, mereka sebenarnya seolah-olah mahu menjemput kemurkaan Allah swt kerana mereka menjalani kehidupan tanpa mengikut garis panduan Kitab Suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Mereka memandang remeh terhadap setiap apa yang ditegah, dilarang dan disuruh oleh Allah, malah mereka sewenang-wenangnya melakukan apa yang ditegah tanpa rasa bersalah, berdosa dan malu kepada Allah swt. 

Ketahuilah, setiap perlakuan dan tindakan serta perbuatan yang kita kerjakan setiap saat dan ketika walau pun sebesar biji sawi akan dinilai dan diukur oleh Allah. Setiap dari kita akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah swt untuk setiap apa yang telah kita lakukan sepanjang perlayaran kita di dunia. 

Dalam Surah Al-Zalzalah, ayat 7-8 yang bermaksud: "Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya."  

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar! Semoga ilmu yang dikongsikan ini dapat memberi manfaat yang amat bernilai untuk diamalkan bagi menggapai redha Allah swt bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Semoga kita sentiasa dalam peliharaan dan jagaan Allah, In Shaa Allah!             

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.