Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Friday, November 22, 2013

Menjiwai SALAM

<3 Bismillah <3

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh =)

Syukur Alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana diberi kesempatan untuk menadah ilmu  yang amat bernilai bertajuk "Menjiwai Salam" dalam program "Tanyalah Ustazah" di TV9 pada hari yang penuh keberkatan ini, hari Jumaat penghulu segala hari. SubhanAllah!

InsyaAllah, di sini akan dikongsikan sedikit input yang berguna untuk tatapan bersama yang dapat diamalkan dan dimanfaatkan. InsyaAllah! Walau pun kita memandang memberi dan menjawab salam sebagai suatu yang amat mudah kerana kita sering dan kerap melakukannya. Tapi ternyata kita tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan menjiwai Salam dan pengertian salam itu sendiri.

Menjiwai Salam memberi erti apa yang diucap/dijawab di bibir seiring dengan ucapan di hati. Dalam memberi/menjawab salam, hati kita perlu menghayati dan memahaminya kerana setiap pahala yang dikira oleh Allah SWT adalah melalui apa yang berada di dalam hati kita. 

Untuk menjiwai ucapan salam yang diberi/dijwab perlulah memahami di akal juga. Ketahuilah bahawa "salam" merupakan kalimah yang datang dari Allah SWT. Dan kalimah salam diucapkan oleh Rasulullah SAW serta disebarkan sejak Nabi Adam a.s. Manakala para nabi menerima salam daripada Malaikat. Hal ini menunjukkan betapa bermakna dan bernilainya penghayatan terhadap Salam kerana ia merupakan kalimah mulia dari Allah SWT untuk disebarkan.  

Surah An-Nur (ayat 61) yang bermaksud, "Apabila kamu memasuki rumah-rumah hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya yang bererti memberi SALAM kepada dirimu sendiri, dengan SALAM yang penuh BERKAT dan baik dari sisi ALLAH."

Rasulullah SAW telah bersabda, "Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi SALAM apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggillah ia dengan nama yang paling disenanginya." (Riwayat Al-Tabrani)
 
Kelebihan SALAM :-
1. Memberi salam akan menjadi pintu kepada kebaikan. Permulaan kata-kata/ucapan/bicara yang baik akan memberi pengakhiran yang juga baik. Sesungguhnya apabila kita memulakan sesuatu dengan kebaikan, kita akan mendapat kebaikan sebagai ganjarannya. 

2. Salam- Mendoakan kebaikan untuk diri sendiri juga. Ketahuilah dengan memberi salam boleh menjadi satu sedekah dan menguatkan diri untuk sentiasa menyebarkan salam. Dengan memberi salam juga dapat membuang segala sifat-sifat cela dalam diri kita kerana kita akan berusaha memberi salam walau pun terkadang rasa berat untuk mendahulukan salam. 

3. Mendoakan kebaikan untuk orang lain. Hal ini salam itu mengandungi pengertian yang mendalam iaitu kesejahteraan dan kerahmatan Allah swt. Jadi bila kita memberi salam dengan penuh penghayatan dalam hati, kita telah mendoakan kebaikan dan kesejahteraan orang lain. 

4. Mendapat keberkatan Allah SWT. Memandangkan kalimah salam datang dari Allah, maka bila kita menyebarkan salam seiring dengan kefahaman di dalam hati, oleh yang demikian kita telah memohon keberkatan dari Allah untuk semua. 

Kenapa kita dituntut menjawab salam?

"Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang lelaki pergi ke pasar namun pulang dari pasar tanpa membeli apa-apa. Oleh itu, sahabatnya bertanya kenapa dia pulang dengan tangan kosong sedangkan dia pergi ke pasar. Lelaki itu menjawab: "Aku pergi ke pasar kerana hendak menyebarkan salam."

"Memandangkan di pasar terdapat ramai orang, apabila banyak salam yang diberikan maka dia mendapat banyak doa daripada penjawab salam sebagai pulangan yang amat berharga. Dan dia tidak pulang dengan tangan kosong kerana dia membawa pulang penuh keberkatan yang diperolehinya daripada Allah swt dengan penyebaran salam tersebut."     

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi SALAM), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya ALLAH sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (An-Nisa': 86)

Rasulullah SAW bersabda, "Terdapat enam Hak Seorang Muslim terhadap Muslim yang lain yang perlu ditunaikan iaitu :-

1. Apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam.
2. Apabila dia mengundangmu maka penuhilah jemputannya.
3. Apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah.    
4. Apabila dia bersin dan mengucapkan "Alhamdulillah", maka doakanlah dengan ucapan "Yarhamukallah" (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu).
5. Apabila dia sakit, maka ziarahilah.
6. Apabila dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya. 
(Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Ingat! Apabila seorang Muslim memberikan salam kepada saudaranya, dan saudaranya tidak menunaikan hak tersebut dengan menjawab salam yang diterimanya maka dia akan berdosa. Jadi kepada pemberi salam adalah lebih baik dia terus menggugurkan salamnya supaya saudaranya itu tidak berdosa. Kerana hukum menjawab salam adalah wajib!
 
Dengan memberi dan menjawab salam dapat mengikat dan mengukuhkan ikatan Silaturrahim. InsyaAllah!

Hukum Makruh menjawab salam apabila :-
1. Menjawab salam ketika berada di dalam tandas.
2. Menjawab salam ketika makanan penuh di dalam mulut. 
3. Ketika Azan atau Iqamah dialunkan. 

Bagaimana adab memberi salam? 
1. Memberi salam dengan jelas, sebutan yang betul supaya dapat difahami dengan baik. Ketahuilah, lagi panjang salam yang diucapkan, adalah lagi baik dan lagi panjang doa yang diberikan. Sekiranya berada di dalam majlis ilmu, salam perlu diberikan sekurang-kurangnya tiga kali agar dapat didengari dan dijiwai oleh segenap tetamu atau pendengar. 

2. Tulis dengan sempurna dan ejaan yang tepat agar maksudnya dapat difahami. Sekiranya salam tidak ditulis dengan jelas maka pembaca salam tersebut tidak bertanggungjawab untuk menjawabnya. 

3. Pemberi salam mahu pun orang yang menjawab salam perlulah memandang wajah orang yang dituju demi menjaga adab dan agar salam itu dapat dihayati dengan sepenuh hati. Dan amat baik serta digalakkan jikalau salam tersebut dapat diiringi dengan berjabat salam andai sesama mahram agar ikatan itu akan lebih erat.

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah dua orang itu berjumpa, lalu mereka memberikan salam serta berjabat salam kecuali digugurkan dosa mereka sehingga mereka berpisah.." (Hadis Riwayat Imam Nawawi) 

4. Orang yang lebih muda memberi salam terlebih dahulu kepada orang yang lebih tua. Seperti pelajar memberi salam kepada guru, anak-anak memberi salam kepada ibubapa. 

Bagaimanakah adab memberi/menjawab salam di Alam Maya?
--->> Menulis dengan tulisan yang betul dan jelas supaya tidak mencemarkan salam atau pun menyebabkan terpesong dari maksud sebenar. Ketahuilah, kita akan mendapat pahala dengan ucapan salam yang sempurna. InsyaAllah!

Konklusinya, kita perlu menjiwai setiap salam yang diucapkan dengan memahami makna di hati. Apabila mulut menuturkan salam, kita telah mendapat pahala. Dan apabila kita menjiwai salam tersebut di dalam hati dengan niat untuk mendoakan kebaikan buat orang lain, kita turut akan mendapat pahala lagi. 

SubhanAllah, Indahnya Islam! =)

Bukan suatu hal yang amat mudah untuk mendahulukan salam dan bagi menjadikan ia suatu kebiasaan dalam kehidupan kita lagilah amat sukar. Memang senang untuk orang memberi salam dan menjawab salam, tapi bagi seseorang itu membiasakan diri mendahulukan salam kepada orang lain terlebih dahulu adalah payah. 

Sesiapa yang membiasakan sesuatu perkara yang baik itu, dia akan mendapat pahala. Dan akan mendapat pahala lagi apabila dapat menarik orang lain untuk menirunya. Dalam salam terdapat rahsia kesejahteraan orang Islam dan orang beriman apabila mereka memberi dan menjawab salam. Allah SWT tidak akan berhenti mencurahkan keberkatan selagi salam disebarkan di antara kita semua. InsyaAllah! 

Waallahu'alam <3

#Sebarkan Salam Sebarkan Sayang! Allahu Allah =)       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.