Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Thursday, November 21, 2013

Istiqomah

<3 Bismillah <3 

Apa maksud Istiqomah: 
"Istiqomah bermaksud melakukan sesuatu kebaikan atau pun amalan secara berterusan menurut kemampuan kita"

Hadis:
Rasulullah SAW, berpesan: "Taklifkan diri kamu dengan amalan yang kamu mampu. Sesungguhnya Allah tidak bosan sehinggalah kamu sendiri yang jemu. Dan amalan yang paling Allah suka ialah yang paling konsisten biarpun sedikit."
Kemudian Saiditina Aisyah memberitahu: "Apabila Rasulullah mengamalkan sesuatu, Baginda konsisten melakukannya." (Riwayat Abu Dawud) 

Istiqomah bukan sesuatu yang mudah untuk dijaga mahu pun dikekalkan kerana ia menuntut mujahadah yang tinggi. Ia juga memerlukan kita supaya sentiasa memperbaharui niat dalam melaksanakan amalan agar apa yang kita lakukan biarlah semata-mata kerana Allah. Niat itu penting kerana bila kita melakukan sesuatu amalan yang tidak disertai dengan niat kerana Allah dan kerana tujuan lain, maka kita akan mudah berasa jemu dan penat dalam meneruskannya apabila tujuan amalan kita itu tidak tercapai.      

Dalam Istiqomah, kadang-kadang kita berusaha kuat untuk melakukan amalan secara berterusan namun sukar untuk mengekalkannya dalam jangka masa yang panjang jika tiada kekuatan dalaman untuk melawan desakan hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan. Sehinggakan kita terkadang juga akan menjadi lemah dan tidak mampu untuk teruskan amalan tersebut sampaikan ada yang terus berhenti dari melaksanakannya. Dan bila diberi motivasi, kita akan kembali melakukan amalan tersebut.

Istiqomah kita juga dapat dipelihara apabila terdapat beberapa faktor dorongan seperti sahabat yang baik yang sama-sama ingin istiqomah dalam amalan yang ingin dilakukan. Faktor persekitaran turut dapat mempengaruhi diri kita untuk kekalkan istiqomah kita. Faktor sekeliling yang penuh dengan keseronokan dan jauh dari program keilmuan yang bermanfaat, kita mungkin akan terikut-ikut dan melupakan amalan yang kita lakukan sebelum ini. Manakala, bila kita berada di dalam kelompok masyarakat mahu pun keluarga yang rajin dalam melakukan kebaikan, terdapat majlis ilmu dan sentiasa memberikan nasihat yang berguna yang mana saling mengingati antara satu sama lain antara ahli keluarga maka istiqomah kita dalam amalan yang kita lakukan dapat dijaga dengan sebaiknya. 

Terdapat langkah-langkah yang boleh kita ikuti dalam memastikan Istiqomah dapat dipelihara, antaranya :-
1. Laksanakanlah amalan menurut kemampuan kita.
2. Lakukan secara tertib dan tomakninah/ buat secara konsisten.
3. Mulakan amalan yang ringan/kecil sehingga kita telah mampu untuk laksanakannya, dan apabila amalan itu telah mampu kita jaga keberlangsungannya, maka bolehlah memulakan amalan yang besar/berat. 

InsyaAllah, sekiranya kita berusaha dan berjaya mengikut langkah-langkah ini kita akan dapat memelihara Istiqomah dalam diri kita. Tapi ingat, Niat perlulah segalanya biarlah Kerana Allah, kerana mendambakan Keredhaan-Nya, mengharapkan Cinta & Kasih Sayang Ilahi serta Meraih SyurgaNya. InsyaAllah. 

Ingat! "Amalan kecil tapi konsisten itu lebih disukai Allah dari Amalan besar tapi tidak konsisten."

#Salam Mujahadah

Wednesday, November 20, 2013

Ukhwah Itu Indah =)


<3 Bismillah <3

Ukhwah itu Indah,
Keindahannya ibarat sekuntum mawar,
Yang berkembang mekar,
Dan semerbak harumnya di segenap taman.

Ukhwah itu Indah,
Kerana letaknya pada hati yang suci,
Dan tertaut padu dalam cinta Kepada-Nya,
Seiring sejalan menuju Redha Ilahi.

Ukhwah itu Indah,
Saat kita memerlukan,
Ada yang sudi menghulurkan tangan,
Saat kita dalam kedukaan,
Ada yang sudi menghiburkan.

Ukhwah itu Indah,
Saat kita menangis,
Ada yang sudi meminjamkan bahu,
Agar terusir beban di hati,
Dan tenang datang berganti.

Ukhwah itu Indah,
Saat kita bergembira,
Ada yang bersama meraikan,
Saat kita terus diuji,
Ada yang sentiasa menitipkan doa.

Ukhwah itu Indah,
Berjumpa dan berpisah kerana Allah,
Datang dan pergi tetap merindui,
Dekat atau jauh,
Pasti tulus bersemadi di sanubari. 

Ukhwah itu Indah,
Hadirnya kerana Allah, 
Ikhlas dalam ikatan yang terjalin,
Dengan Niat untuk meraih Syurga Ilahi
Yang indah lagi abadi.

<3 In Shaa Allah <3

Sayang & Cinta: Raihanatul Al Islam

Muhasabah Diri

<3 Bismillah <3

Saat kita melihat kekurangan mahu pun kelemahan pada diri orang lain, jangan kita terus menghukum atau membuat penilaian terhadap mereka hanya kerana kekurangan yang kita nampak secara zahir. 

Di kala, mereka terlanjur dalam melakukan kesilapan, jangan pula kita memandang mereka sebagai manusia yang jahat atau teruk dari diri kita. Atau menganggap kita lebih baik dari mereka. Jangan sesekali bersikap demikian! InsyaAllah ya :)

Kenapa? Kerana kita perlu tahu bahawa kita ini hanya manusia biasa. Dan tidak layak bagi diri kita yang juga tidak sempurna untuk membuat penilaian terhadap sesama manusia. Kita perlu tahu bahawa hanya Allah SWT yang berhak untuk membuat penilaian terhadap hamba-hambaNya kerana Dia lah yang menciptakan kita dan Dia juga yang memegang hati kita semua, hambaNya. 

Lebih baik buat diri kita untuk sentiasa menilai, memuhasabah dan mencermin diri kita supaya kita tidak melakukan kesilapan yang sama dan jadikan apa jua yang kita lihat sebagai satu peringatan agar diri kita boleh terus menjadi yang terbaik di sisi Allah SWT. Kita perlu selalu berpesan kepada diri, bahawa cukuplah Allah sebagai Penilai kerana Dia lah Penilai yang terbaik. Hanya Penilaian yang baik dari Allah yang harus kita semua harapkan supaya redha Allah dapat diraih di dunia dan di akhirat. InsyaAllah!   

Seterusnya, kita manusia tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan mahu pun dosa kerana kita bukan maksum. Jadi hal ini amat jelas menunjukkan yang kita tidak pernah diberi mandat untuk membuat penilaian terhadap manusia lain. Allah SWT hanya menyuruh kita semua, hambaNya agar sentiasa berusaha yang terbaik untuk menjadi hambaNya yang soleh, taat dan patuh akan segala perintah dan larangan-Nya. 

Ketahuilah, Allah melihat hamba-Nya pada Iman, Amalan dan Ibadah serta Hati yang ikhlas kerana Dia, bukan melihat pada rupa paras, kedudukan mahu pun status serta kekayaan yang dimiliki. Allah langsung tidak memandang pada semua itu. Kerana Allah itu Maha Pengasih Maha Penyayang. SubhanAllah, Allah SWT aturkan sebegini supaya semua manusia merasakan bahawa mereka mempunyai peluang dan kesempatan untuk meraih kebahagiaan dan kejayaan bukan setakat di dunia ini, malah di akhirat kelak, InsyaAllah!

Kita juga tidak layak menilai segala amal perbuatan manusia lain kerana kita sememangnya tidak akan pernah tahu apa yang tersimpan di dalam hati mereka. Kita perlu ingat, hanya Allah yang tahu segala rahsia di hati tiap-tiap hamba-Nya. Jadi, cukuplah kita hanya berlapang dada dalam setiap hal yang terjadi kepada manusia dalam lingkungan kita agar ikatan baik antara manusia dapat dikekalkan dalam keadaan yang aman dan harmoni.  InsyaAllah!

Ingat, tidak selamanya yang jahat akan terus jahat. Mereka mungkin akan berubah seketika kemudian dengan Izin Allah SWT. Dan yang baik tidak akan mungkin dapat kekalkan kebaikannya jika Allah tidak mengizinkannya. Kerana segalanya terletak ditangan Allah SWT Yang Maha Kuasa. 

Renungkanlah, mungkin dengan kekurangan atau kelemahan yang ada dalam diri mereka, membuatkan mereka belajar untuk bersyukur, tabah dan mempunyai azam untuk memperbaiki kelemahan dan mempunyai semangat untuk meningkatkan kualiti diri ke arah yang lebih baik. Dan perlu juga kita ingat, mungkin dengan kesilapan yang mereka lakukan itu dapat menjadi pengajaran, motivasi buat diri mereka untuk memperbetulkan kesilapan diri dengan melakukan kebaikan yang berterusan. Mungkin dengan kesalahan tersebut mampu untuk mematangkan serta menyedarkan diri mereka dari terus hanyut dalam kealpaan hidup mereka. Sesungguhnya Allah lebih tahu, dan tiada yang mustahil bila Allah hanya berkata "Kun" maka akan "Jadilah".              

Jadi, tidak perlulah kita membuang masa untuk asyik menilai orang lain kerana ternyata saat mereka berubah, mereka menjadi Lebih Baik dari Kita! 

Ingat, apabila Allah mengkehendakinya terjadi tiada sesiapa dapat menghalang ia dari terjadi dan apabila Allah tidak mengkehendakinya berlaku maka tiada sesiapa jua dapat membenarkannya. 

Waallahu'alam =)

<3 Islam Itu Indah <3   

Monday, November 18, 2013

INILAH JALANKU by Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna

<3 Bismillah <3 

- Aku menyakini: Bahawa semua urusan itu milik Allah dan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah penutup sekalian rasulNya untuk umat manusia. Bahawa balasan akhirat adalah benar, al-Quran itu adalah Kitabullah dan bahawa Islam itu adalah peraturan yang sempurna untuk menyusun kehidupan dunia dan akhirat.

- Aku berjanji: Bahawa aku menyusun untuk diriku beberapa hizib dari al-Quran al-Karim dan bahawa aku berpegang dengan As-Sunnah yang suci dan bahawa aku mempelajari sirah Rasulullah s.a.w. dan sejarah para sahabat yang dimuliakan. 

- Aku berjanji bahawa aku sentiasa Istiqamah mengerjakan ibadah dan menjauhi kemungkaran, lebih-lebih lagi aku mesti menghiaskan diri dengan akhlak yang mulia dan menyisihkan diri dari akhlak yang jahat dan sentiasa mencari ruang untuk menghidupkan kebudayaan Islam sekadar kemampuanku, aku mengutamakan kasih sayang dan terhadap hukuman dan keputusan, aku tidak akan kembali kepada Qada' kecuali terpaksa. Aku berbangga dengan syiar dan bahasanya dan aku sentiasa berusaha untuk menyebarkan ilmu dan pengetahuan yang bermanfaat kepada semua lapisan ummah. 

- Aku beri'tiqad bahawa setiap Muslim dituntut beramal dan berusaha, dan bahawa pada harta yang mereka cari itu ada haknya ke atas yang meminta dan yang disempitkan rezeki. 

- Aku berjanji bahawa aku akan berusaha untuk menguruskan kehidupanku dan berjimat cermat untuk masa hadapanku, aku akan menunaikan zakat hartaku dan aku akan khususkan sebahagian dari perolehanku itu untuk kerja yang baik dan kebajikan, dan aku akan meransangkan segala usaha pertumbuhan ekonomi Islam yang baik dan bermanfaat, aku akan mengutamakan barang keluaran negaraku, orang yang seagama dan aku sekali-kali tidak akan berurusan yang melibatkan riba dan aku tidak akan tamak untuk menyempurnakan kehidupan ini di luar kemampuanku. 

- Aku beri'tiqad bahawa seseorang Muslim itu mesti bertanggungjawab terhadap keluarganya dan menjadi kewajipannya untuk menjaga kesihatannya, pegangan aqidahnya dan akhlaknya. 

- Aku berjanji akan menunaikan kewajipan itu dengan sepenuh usahaku dan meneguhkan pengajaran Islam dalam anggota keluargaku, dan tidak akan memasukkan anak-anakku ke sekolah yang tidak menjaga aqidah dan akhlak mereka dan aku memulau semua media cetak dan elektronik yang bertentangan dengan pengajaran Islam. 

- Aku beri'tiqad bahawa di antara kewajipan seorang Muslim ialah menghidupkan keindahan Islam dengan membangkitkan kesedaran ummahnya dan mengembalikan syariahnya dan bahawa panji Islam itu mestilah memimpin ummah ini dan menjadi tugas dan kewajipan setiap individu Muslim mendidik warga dunia dengan kaedah-kaedah Islam. 

- Aku berjanji bahawa aku akan berjihad untuk menegakkan Risalah ini selagi hayat dikandung badan, dan aku rela berkorban segalanya untuk mencapai matlamatku ini. 

- Aku beri'tiqad bahawa semua ummah ini dan ummah yang satu yang diikat dengan Aqidah Islamiah dan bahawa Islam memerintahkan penganutnya berlaku Ihsan kepada semua makhluk. 

- Aku berjanji bahawa aku akan berusaha sedaya upaya untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan berusaha menghilangkan permusuhan dan perbalahan sesama mereka. 

- Aku beri'tiqad bahawa kemunduran ummah ini apabila mereka menjauhi dan membelakangi ajaran agama mereka, dan satu-satunya jalan untuk mengembalikan mereka ialah kembali kepada pengajaran Islam dan hukum hakamnya dan semuanya ini tidak mustahil sekiranya diperjuangkan oleh setiap Muslimin.   

10 Wasiat Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna

<3 Bismillah <3

- Apabila mendengar azan maka bangunlah solat serta merta walau bagaimana keadaan sekalipun.

- Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tidak memberi faedah.

- Berusahalah untuk bertutur dalam Bahasa Arab Fushah kerana Bahasa Arab yang betul itu adalah Syiar Islam. 

- Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tidak memberi apa-apa jua kebaikan. 

- Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. 

- Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 

- Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang. 

- Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang memberi kebaikan. 

- Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih sayang. 

- Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.    

#Semoga Bermanfaat <3

Saturday, November 16, 2013

Hadis Ke-4: Peringkat Kejadian Manusia

<3 Bismillah <3

Diriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud r.a., beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. telah menceritakan kepada kami, dan Baginda adalah orang yang benar lagi dibenarkan, :

"Sesungguhnya seseorang kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk air mani. 

Kemudian dia menjadi seketul darah selama tempoh itu. Kemudian dia menjadi seketul daging pula selama tempoh itu juga. Kemudian Allah mengutuskan kepadanya satu malaikat, lalu dia meniupkan roh padanya. Malaikat itu disuruh oleh Allah dengan empat kalimah: 

Menulis Rezeki, Ajal, Amal, dan Celaka atau Bahagia janin tersebut. Maka demi Allah yang tiada tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang kamu memang beramal dengan amalan ahli Syurga, sehingga tidak tinggal antaranya dengan Syurga kecuali sehasta. Lalu takdir yang telah ditulis mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli Neraka, lalu dia memasuki Neraka. 

Sesungguhnya seseorang kamu memang beramal dengan amalan ahli Neraka, sehingga tidak tinggal antaranya dengan Neraka kecuali sehasta. Lalu takdir yang telah ditulis mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli Syurga, lalu dia memasuki Syurga." 

<Hadis Diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim>

Friday, November 15, 2013

Topic In Al-Khawater: "Si Pengacau"

<3 Bismillah <3 
Assalamualaikum, =)

Alhamdulillah, berkesempatan menonton program al-Khawatir di TV Hijrah pada 14 November 2013. SubhanAllah banyak input yang bermanfaat diperoleh. Insya'Allah akan dikongsikan di ruangan ini untuk tatapan sahabat yang dikasihi. Moga ianya bermanfaat untuk kebaikan bersama, InsyaAllah :)

Masjid! Masjid sepatutnya menjadi satu tempat yang dapat memberikan keselesaan dan menenangkan buat umat Islam yang mengunjunginya, dapat memberi ketenangan kepada umat manusia yang mahu melaksanakan ibadat tanpa ada sebarang gangguan mahu pun hal yang dapat menghalang mereka melakukan ibadat dengan baik dan khusyuk. 

Jika terdapat anasir negatif yang timbul daripada sesetengah manusia yang tidak faham akan adab semasa berada di dalam masjid, orang lain akan mengalami gangguan dalam solat dan tidak tenang serta selesa kerana sikap mereka tersebut.

Orang ini digelar sebagai "Si Pengacau". Si Pengacau dalam masjid dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti yang akan dinyatakan di bawah. Insyaallah! 


  1. Si Bau Busuk: Terdapat segelintir manusia yang pergi ke masjid dengan nafas yang berbau busuk kerana faktor permakanan. Hal ini menggangu jemaah lain yang berada di sebelahnya tidak dapat solat dengan khusyuk. Manusia yang berbau busuk nafasnya lebih afdhal untuk solat di rumah berbanding masjid menurut sabda Nabi SAW.
  2. Si Nada Dering: Sesetengah orang yang bawa handphone ke masjid, sering lupa untuk menukar mode silent handphone mereka sehinggakan menyebabkan handphone mereka berdering semasa solat dilaksanakan. Hal ini menyebabkan jemaah lain terganggu fokus mereka kepada bacaan Imam. 
  3. Si Falsafah: Sementara itu, terdapat juga orang yang berlagak pandai apabila seusai solat, mereka sering menegur dan cuba memperbetulkan cara solat jemaah lain sehinggakan mereka lupa untuk menjaga aib orang lain. Sepatutnya mereka bersikap berlapang dada dalam menghadapinya dan bukan bersikap terlalu bijak dalam segala hal sehinggakan asyik mahu menilai cara solat orang lain. Sekiranya mereka mahu memberi teguran, ia perlu dilakukan secara berhikmah dan bukan secara terbuka dalam masjid di hadapan jemaah lain. 
  4. Si Suara Kuat: Jemaah turut terganggu apabila terdapat beberapa orang jemaah yang hadir membaca bacaan dalam solat dengan nada yang kuat. Hal ini membuatkan jemaah lain tidak dapat menuturkan bacaan mereka dengan baik dan khusyuk kerana pendengaran mereka terganggu dengan suara kuat jemaah lain. Jadi, seharusnya jemaah yang memang membaca dengan suara yang kuat perlu merendahkan nada mereka untuk kebaikan jemaah yang lain. Namun jika mereka tidak mampu lakukan sedemikian kerana bagi mereka kalau tidak baca dengan nada yang kuat, mereka tidak dapat khusyuk, adalah lebih afdhal dan harus bagi mereka untuk solat di rumah sahaja.  
  5. Si Lutut: Seterusnya, jemaah yang sering hadir lewat ke masjid tetapi suka duduk dan berada di saf hadapan selalu melangkah melalui lutut jemaah lain yang berada dan duduk di saf kedua dan ke belakang. Mereka tanpa segan silu melangkah dan meminta maaf kepada jemaah yang dilangkauinya seolah-olah tiada rasa hormat. Seharusnya mereka yang ingin duduk di saf hadapan perlu hadir awal supaya hal demikian tidak berlaku.  
Konklusinya, setiap jemaah yang hadir ke masjid perlu mengetahui dan memahami adab-adab sepanjang berada di dalam masjid dan semasa solat. Hal ini penting supaya jemaah lain tidak berasa kurang selesa yang mungkin akan menjadi asbab mereka tidak mahu ke masjid. Jemaah yang menjadi punca kepada masalah ini perlu peka dengan diri mereka supaya tabiat yang buruk dapat dibaiki untuk kebaikan bersama dan setiap jemaah dapat melaksanakan ibadat mereka dengan khusyuk. InsyaAllah!