Daripada Ibn
Abbas ra., Nabi saw bersabda: “Wahai anak, aku ingin ajarkan kepada engkau
beberapa kalimah: Peliharalah hak-hak Allah nescaya Allah memelihara kamu.
Peliharalah hak-hak Allah nescaya engkau akan mendapati-Nya di mana sahaja kamu
berada. Apabila kamu ingin meminta bermohonlah kepada Allah. Apabila kamu
inginkan pertolongan, mohonlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah,
sekiranya seluruh umat berhimpun untuk memberikan suatu manfaat kepada engkau,
mereka tidak akan dapat berbuat demikian sedikit pun melainkan dengan suatu
yang telah Allah tetapkan kepada kamu, sekiranya mereka berhimpun untuk
memudaratkan kamu, mereka tidak akan dapat berbuat demikian sedikit pun
melainkan dengan suatu yang telah Allah tetapkan ke atas kamu. Telah pun
diangkat dan segala pena dan telah keringlah segala buku. Segalanya telah
ditetapkan oleh takdir dan ditulis di Luh Mahfuz)”
Saturday, January 19, 2013
MATLAMAT HIDUP MANUSIA
Matlamat dan
peranan manusia dalam hidup telah dijelaskan oleh aqidah Islam
sejelas-jelasnya. Manusia tidak dijadikan sia-sia dan tidak dibiarkan begitu
sahaja. Ia dijadikan untuk tujuan dan hikmah tertentu. Ia tidak dijadikan untuk
dirinya atau untuk menjadi hamba kepada salah satu unsure dalam ala mini. Ia
juga tidak dijadikan untuk berseronok sebagaimana binatang-binatang berseronok.
Bukan juga dijadikan untuk hidup beberapa tahun yang pendek atau panjang
kemudian ditelan tanah, dimakan ulat dan dimamah oleh kebinasaan.
Sesungguhnya ia dijadikan untuk
mengenal dan menyembah Allah serta menjadi khalifah di muka bumi. Ia memikul
amanah terbesar dalam hidup yang pendek ini, amanah taklif dan tanggungjawab.
Manusia ditapis dengan dugaan dan digilap dengan tanggungjawab. Dengan itu, ia
menjadi matang dan bersedia untuk kehidupan yang lain, iaitu kehidupan yang
kekal selama-lamanya tanpa penghujung.
Manusia tidak dijadikan untuk
dirinya sendiri, tetapi ia dijadikan untuk menyembah Allah. Ia tidak dijadikan
hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini, tetapi ia dijadikan untuk
kehidupan yang kekal abadi, ia dijadikan untuk selama-lamanya.
Ada orang berkata, “Si bodoh hidup
kerana mahu makan manakala orang berakal makan kerana mahu hidup.” Pernyataan
ini tidak menyelesaikan masalah kerana hidup itu sendiri bukan satu tujuan,
persoalan masih tetap ada, kenapa manusia hidup?
Adapun para materialisme menjawab:
“Sesungguhnya manusia hidup untuk dirinya sendiri dan untuk mengecapi nikmat
dunia.”
Manakala orang yang beriman
menjawab: “Manusia hidup hanya kerana Tuhannya yang Maha Tinggi dan untuk
hidupnya yang kekal abadi.” Firman Allah SWT: “Maka adakah patut kamu menyangka
bahawa Kami hanya menciptakan kamu dari tiada kepada ada sahaja dengan tiada
sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu menyangka pula tidak akan dikembalikan
kepada Kami? Maka dengan yang demikian, Maha Tinggilah Allah yang menguasai
seluruh alam, lagi yang tetap benar.” (Al-Mukminun: 115-116)
Alangkah besarnya perbezaan antara
orang yang hidup untuk dirinya dengan orang yang hidup untuk Tuhannya, di
antara orang yang hidup di dunia yang terbatas dengan orang yang hidup untuk
kehidupan yang tidak terbatas dari segi zaman dan tempat.
Sesungguhnya teori kebendaan yang
mengingkari tuhan tidak mengetahui matlamat hidup manusia, kerana matlamat
perlu kepada niat dan niat pula perlu kepada orang yang berucap. Sedangkan
teori ini menolak manusia itu dijadikan dengan maksud tertentu. Kerana itu
manusia pada pandangannya tidak mempunyai tugas dan peranan selain dari
bertungkus lumus untuk memenuhi dan memperbaiki kehendak hidup.
Dengan perkataan lain, “manusia
hidup kerana perhiasan dunia dan keseronokan, tidak lebih daripada itu. apabila
usia manusia tamat dalam masa yang pendek maka berakhirlah segala-galanya.
Alangkah benarnya perkataan al-Quran: “Katakanlah, mata benda yang menjadi
kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja.” (Al-Nisaa’:77)
MEMBUNUH 100 ORANG DAN BERTAUBAT
Hadis Bukhari
dan Muslim, dari Abu Sa’id bin Malik bin Sinan Al-Khudri ra., bahawa Nabi saw
bersabda:
Sebelum kalian, ada seorang lelaki
yang telah membunuh 99 orang. Kemudian dia bertanya kepada penduduk sekitar
tentang seorang yang alim. Maka dia ditunjukkan kepada seorang rahib (pendeta
Bani Israil).
Dia
pun pergi berjumpa pendeta tersebut dan menceritakan yang dia telah membunuh 99
orang. Dia bertanya apakah dia boleh bertaubat? Pendeta itu jawab, “Tidak”.
Maka pendeta itupun dibunuhnya, sehingga genaplah jumlah orang yang dibunuhnya
menjadi 100 orang.
Kemudian
dia terus bertanya di mana dia boleh bertemu seseorang yang paling alim di atas
bumi ini. Dia pun ditunjukkan pula kepada seorang lelaki alim. Ketika menghadap
orang alim itu, dia bercerita bahawa dirinya telah membunuh sebanyak seratus
jiwa. Dia bertanya, “Bolehkah aku bertaubat?”
Orang
alim itu menjawab, “Ya, siapakah yang akan menghalangi orang bertaubat?
Pergilah kamu ke kota ini (sambil menunjukkan ciri-ciri kota yang dimaksud),
kerana di sana terdapat orang yang menyembah Allah Taala. Beribadahlah kamu
kepada Allah bersama mereka, dan jangan kembali ke kotamu, kerana kotamu
merupakan daerah yang jelek.
Lelaki
itupun berangkat menuju ke kota yang dimaksudkan. Ketika menempuh separuh
perjalanan, maut menghampirinya.
Kemudian
terjadilah perselisihan antara Malaikat Rahmat dengan Malaikat Azab – siapakah
yang lebih berhak membawa rohnya? Malaikat Rahmat beralasan bahawa orang ini
datang dalam keadaan bertaubat, lagi pula menghadapkan hatinya terhadap Allah.
Sedangkan Malaikat Azab bertugas menyiksa orang berdosa beralasan bahawa orang
ini tidak pernah melakukan amal baik.
Kemudian
Allah swt mengutuskan malaikat yang menyerupai manusia, mendatangi keduanya
untuk menyelesaikan masalah itu dan berkata, “Ukurlah jarak dari tempat dia
meninggal ke kota asalnya, dan ke kota yang ditujunya. Mana yang lebih dekat
maka itulah baginya.”
Para
malaikat itupun mengukur, lalu mereka mendapati bahawa ketika meninggal si
pembunuh itu jaraknya lebih dekat ke kota yang ditujunya. Maka Malaikat Rahmatlah
yang berhak membawa roh orang tersebut.
JANGAN BERKATA “KALAULAH”
Hadis Sahih
Muslim, daripada Abu Hurairah ra, katanya Rasulullah saw bersabda:
Orang mukmin yang kuat adalah lebih
baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah. Masing-masing
ada mempunyai kebaikan. Bersungguh-sungguhlah mengerjakan sesuatu yang berguna
di dunia dan di akhirat, dan hendaklah selalu meminta pertolongan daripada
Allah dan jangan merasa lemah yakni putus harapan, atau merasa hampa. Jika
engkau ditimpa sesuatu janganlah berkata, “Kalaulah aku berbuat demikian tentu
akan jadi begini dan begitu”, akan tetapi katakanlah “Taqdir Allah, dan Allah
berbuat sekehendak-Nya”. Sesungguhnya perkataan “kalaulah” hanya membukakan
jalan bagi syaitan untuk berbuat sesuatu.
IMAN, ISLAM DAN EHSAN
Hadis sahih
Muslim, daripada Abdullah bin Umar, katanya Umar al-Khattab ayahnya bercerita
kepadanya seperti berikut:
Pada suatu hari
kami berada di sisi Rasulullah saw, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang
lelaki yang berpakaian sangat putih dan rambutnya hitam pekat. Sama sekali
tidak nampak pada dirinya tanda-tanda seperti orang yang datang dari jauh.
Tetapi tidak seorang pun daripada kami yang mengenali lelaki tersebut. Dia
duduk dekat dengan Nabi saw. Dia menyandarkan kedua lututnya kepada kedua lutut
Rasulullah. Dia juga meletakkan kedua tapak tangannya di atas kedua pahanya
sendiri.
Dia berkata, “Wahai Muhammad,
beritahu kepadaku mengenai Islam.”
Rasulullah saw bersabda, “Islam itu
hendaklah kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawasanya
Muhammad adalah utusan Allah. Hendaklah kamu mendirikan solat, membayar zakat,
mengerjakan puasa Ramadhan, dan menunaikan ibadah haji jika mampu dalam
perjalanan.”
Lelaki
itu berkata, “Kamu berkata benar.”
Umar
berkata: tentu saja kami merasa hairan kepada orang itu, sebab dia yang
bertanya dan dia sendiri yang membenarkan jawapan Rasulullah.
Lelaki
itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku mengenai iman.”
Rasulullah
menjawab, “Hendaklah kamu beriman kepada Allah, para malaikat-Nya,
kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, beriman kepada hari akhir dan juga kepada
qadar-Nya yang baik dan yang buruk.”
Lelaki
itu berkata, “Kamu telah berkata benar.” Kemudian beliau menyambung,
“Beritahukan kepada diriku mengenai ehsan.”
Rasulullah
bersabda, “Hendaklah kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihat-Nya. Jika
kamu tidak berasa melihat-Nya maka hendaklah kamu merasa dilihat oleh-Nya.”
Lelaki
itu berkata lagi, “Beritahukan kepadaku tentang hari kiamat.”
Rasulullah
menjawab, “Tidaklah orang yang ditanya lebih mengetahui dibandingkan dengan
yang bertanya.”
Lelaki
itu berkata, “Kalau begitu beritahukan tentang tanda-tandanya saja.”
Rasulullah
bersabda, “Kalau sudah ada budak perempuan melahirkan tuannya, kalau kamu telah
menyaksikan orang-orang yang tidak beralas kaki dan tidak berpakaian, fakir dan
pengembala kambing berlumba-lumba meninggikan binaan.
Kemudian
dia pun pergi. Saya pun berdiam diri dalam satu tempoh yang panjang. Kemudian
Baginda bersabda kepada saya: “Wahai Umar, adakah kamu tahu, siapakah orang
yang bertanya itu? Saya menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Baginda bersabda: Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar
kamu tentang agama kamu.” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Subscribe to:
Posts (Atom)