Assalamualaikum

Glitter Text Generator at TextSpace.net

Friday, February 1, 2013

Penghayatan Rukun Islam

Rukun Islam bererti menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah melalui seluruh kehidupan kita, jiwa raga kita dan harta milik kita sehingga tertegaknya KEISLAMAN yang sempurna. 

MENGUCAP KALIMAH SYAHADAT 
"Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH & Nabi MUHAMMAD itu adalah pesuruh-Nya..". Dengan syahadat, kita mengabdikan diri dengan hati sanubari dan dengan pengakuan lidah kita bahawa Tuhan yang Maha Esa itu adalah Allah swt dan Nabi Muhammad saw itu adalah pesuruhNya.

SOLAT 5 WAKTU SEHARI SEMALAM
Dengan solat, kita mengabdikan seluruh tubuh badan kita menyembah kepada-Nya. Mulai dengan lidah membaca, tangan bergerak, mata, telinga dan fikiran terpusat dengan mengikut susunan rukun solat yang diajarkan oleh Nabi saw. 

MENGELUARKAN ZAKAT
Dengan zakat, kita mengabdikan kepada Tuhan dengan menyerahkan sebahagian dari harta milik kita kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut asnaf yang lapan. 

BERPUASA PADA BULAN RAMADHAN
Dengan berpuasa, kita mengabdikan hawa nafsu dan segala keinginan kita kepada Allah. Dengan menahan nafsu makan dan minum serta menjauhi segala larangan-Nya, secara tidak langsung akan melahirkan rasa keinsafan di dalam peribadi kita serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah swt. 

MENGERJAKAN HAJI DI BAITULLAH
Dengan mengerjakan haji, kita menyembah Allah dengan harta kekayaan milik kita dan mengunjungi ke Baitullah kepada mereka yang mempunyai kemampuan sekurang-kurangnya sekali dalam hidup. 

UMAR AL KHATTAB BENCI PEMBAZIRAN

Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan 'Am al-Ramadh kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. 

Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini adalah kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. 

Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu, namun dengan harga yang agak tinggi. Umar enggan makan bahkan berkata, "Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal. Sedekahkanlah kedua-duanya. Aku benci pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang telah mengenai mereka..?" (At Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr) 

Juga telah diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu Umar bertanya, "Dari mana diperoleh ini?" 

"Daripada unta yang kita sembelih hari ini.."

Kata Umar, "Oh, alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa.." (Ibn Sa'd al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir)

 

Benih Yang Menghasilkan 700 Buah

Dalam surah Al-Baqarah mulai ayat 261 hingga 265 terkandung hal yang berkaitan dengan ganjaran yang sangat besar dari Allah SWT bagi orang yang bersedekah dan berbelanja di jalan Allah. Maksud ayat-ayat tersebut adalah: 

Perumpamaan orang yang membelanjakan harta benda mereka pada jalan Allah, adalah seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, yang tiap-tiap tangkai itu mengandungi seratus biji. Dan Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah adalah Maha Luas lagi Mengetahui. (261)

Orang-orang yang membelanjakan harta benda mereka pada jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit-ungkit dan tidak pula menyakiti, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada ketakutan atas mereka, dan mereka tidak akan berduka. (262) 

Kata-kata yang makruf dan memaafkan adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan menyakiti dan Allah adalah Maha Kaya lagi Amat Penyabar. (263) 

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan sedekah kamu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perumpamaan orang ini laksana batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian ditimpa hujan lebat lalu jadilah ia bersih licin. Mereka tidak berdaya sesuatu pun atas apa yang mereka usahakan, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (264) 

Dan perumpamaan orang yang membelanjakan harta benda mereka kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT dan untuk meneguhkan keyakinan jiwa mereka, adalah laksana sebuah kebun di tempat tinggi yang ditimpa hujan lebat lalu mengeluarkan hasil dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun memadai. Dan Allah sentiasa melihat apa yang kamu kerjakan. (265) 
   

Tanda-Tanda Akan Kiamat

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: 

Belum akan terjadi kiamat sebelum timbul peperangan antara dua pasukan besar, yang antara keduanya timbul peperangan besar sedang seruan keduanya sama. 

Dan sebelum lahir beberapa dajjal yang amat pandai berbohong, hampir sebanyak 30 orang, semuanya mendakwa dirinya utusan Allah. 

Dan sebelum ilmu diambil, dan banyak kegoncangan, zaman bertambah cepat, kekacauan merajalela dan banyak huru hara iaitu pembunuhan. 

Dan sebelum harta melimpah ruah di kalangan kamu sehingga orang yang berharta menginginkan orang yang akan menerima sedekahnya, lalu ditawarkannya tetapi orang yang ditawarkan sedekah itu mengatakan dia tidak lagi memerlukannya. Dan sebelum orang banyak bermegah-megah dengan bangunan-bangunan besar.  

Dan sebelum seseorang melalui kubur orang lain lalu dia mengatakan, "Wahai, hendaknya aku di tempat dia."

Dan sebelum matahari terbit di tempat terbenamnya, dan apabila ia terbit dan dilihat oleh manusia maka mereka pun beriman semuanya, tetapi ketika itu keimanan tidak berguna lagi bagi orang yang belum beriman sebelumnya, atau keimanannya belum menimbulkan usaha-usaha yang baik. 

Ketika kiamat terjadi, dua orang yang hendak berjual beli dan telah mengambangkan kain di hadapan mereka, tidak sempat meneruskan jual beli dan tidak sempat melipat kain. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang baru selesai memerah susu sapinya tidak sempat hendak meminumnya. 

Ketika kiamat terjadi, seseorang yang sedang memperbaiki tepi kolamnya tidak sempat meminum airnya. Ketika kiamat terjadi, seseorang yang mengangkat makanan ke mulutnya tidak sempat memakannya. 

(Hadis Sahih Bukhari) 

 

 

 

DOA BUAT SUAMI TERCINTA

Bismillahirrahmanirrahim...
Dengan menyebut asmaMu ya Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Puji syukurku atas segala nikmatMu untukku..
Telah kau berikan aku satu pendamping hidup
Yang senantiasa setia menjaga dan melindungiku..

Berjalan sejajar denganku, 
Yang dengan cinta dan sayangnya mampu menghapus segala lara,
Yang segala hidupnya diserahkan untuk menyayangiku,
Yang dengan cintanya padaMu mampu mengecup hatiku ketika ku berduka...

Ya Allah ku mohon pada-Mu,
Kini berilah ia kemudahan dalam melangkah,
Berjuang mencari keredhaanMu,
Berjuang menjemput Rezeki yang Engkau takdirkan untuknya,
Berjuang untukku dengan cintanya padaMu...

Ya Allah Maha pengabul doa,
Terimalah berjuta doa dan harapku,
Balaslah segala keluhuran dan kesabarannya,
Balaslah segala kebaikan juga amarahnya
Dengan Cinta-Mu...

Ya Allah Sang Pemilik Hati,
Sampaikan berjuta sayangku untuknya,
Sampaikan sejuta cintaku padanya,
Dan sampaikan terima kasihku yang sangat untuknya,
Kerana telah bersedia menyatu dalam satu rasa,
Dengan segala macam kunci syurga yang Engkau pilihkan untukku...

Ya Allah sampaikan salamku pada baginda Rasulullah saw,
Yang telah begitu banyak mengajarkan cinta dan kasih sayang,
Sungguh Engkau Maha Mengetahui segala isi hati,
Maka kabulkanlah doaku...

Amin ya Rabbal 'Alamin..:)